Friday, 17 June 2016

Noktah

Noktah. Tema terakhir semester ini. Sebagaimana biasa, mungkin penggunaan noktah adalah satu hiperbola atau metafora yang agak dahsyat. Mungkin lebih baik guna tanda rehat atau koma. Tapi, aku lebih melihat kitaran ini dipenuhi banyak noktah. Bagi aku, noktah ini satu pengakhiran. Pengakhiran untuk satu semester, atau mungkin satu subjek, atau mungkin satu hubungan. Kalau ada yang bertanya, bagaimana mungkin noktah ini disambung kembali, jawapannya mungkin terletak pada diri sendiri, adakah anda ingin ianya terhenti, atau ceritanya terus disambung lagi. Bukan mudah untuk meneruskan sesuatu. Apatah lagi satu hubungan yang sukar untuk diteruskan. Kalau ada lagi memori yang tersisa, aku bersyukur. Kalau ini noktah yang sebenar, sama juga, aku bersyukur. Terima kasih untuk kenangan yang tercipta.


a z z w a n

Monday, 6 June 2016

Gagal

Gagal. Kadang-kadang, satu kegagalan itu ringan rasanya. Tetapi, ada masanya, ianya sungguh berat. Dan, untuk kegagalan terbaru ini, aku rasakan ianya bukan mudah. Apabila ianya melibatkan banyak pihak, dan banyak harapan, kegagalan itu pedih bila dihadapi. Mungkin kita boleh alihkan pandangan, lihat dari sudut positif. Aku rasa aku bukan begitu. Gagal tetap gagal, tidak kira nilai positif yang kita bina. Dan, aku tahu, ianya tidak sihat begitu. Tapi, aku memang hidup begini selama ini. Terlalu agresif untuk diambil serius. Terlalu agresif untuk dipandang ringan. Mungkin kegagalan kali ini adalah satu pintu untuk peluang dan keampunan. Mungkin. Aku cuba untuk tidak terlalu berharap.


a z z w a n

Saturday, 4 June 2016

Keliru

Sampai satu masa, mungkin sudah terlambat untuk aku membuat satu keputusan yang penting. Aku sedar perkara ini penting. Tapi, aku bagai tiada rasa. Tiada sekelumit keinginan untuk perkara tersebut. Tiada daya untuk memberi peluang. Tiada rasa untuk meneruskan. Aku tahu masa semakin suntuk. Aku tahu aku perlukannya. Aku tahu orang lain juga bersetuju. Samada di sebelah yang positif, atau mungkin di sebelah lagi satu. Apapun, aku meletakkan diri aku sendiri dalam satu situasi yang bahaya. Yang terlalu mudah menjadi sasaran. Dan, aku tahu risikonya. Aku tahu. Sampai bila aku harus begini. Sampai bila aku harus mengelakkannya. Memang terlalu banyak alasan. Terlalu banyak persoalan. Aku mungkin sudah bersedia. Atau mungkin tidak.


a z z w a n

Thursday, 26 May 2016

Sesal

Sesal. Sepanjang hidup aku ini, aku cuba untuk tidak menyesali apa sahaja perbuatan yang aku lakukan. Aku cuba untuk menjadi sekuat mungkin. Aku ego. Aku tahu. Sebenarnya, mungkin penyesalan adalah suatu perkara yang baik. Ia mengingatkan kita tentang kesilapan kita. Tetapi, mungkin kita tidak patut terlalu terkesan dengan satu penyesalan. Kita manusia. Mahu atau tidak, kita akan melakukan kesilapan. Paling penting, kita tidak lakukan kesilapan yang sama. Kita belajar dari kesilapan yang kita lakukan. Kita belajar dari penyesalan. Mungkin, aku masih begitu. Cuba untuk tidak menyesal, kerana mengharapkan aku membuat sesuatu yang betul dari awal lagi. Mungkin kadang-kadang aku merasakan kesilapan aku juga adalah satu kejayaan. Tapi, hidup memang begini. Ada jatuh dan bangun.


a z z w a n

Wednesday, 25 May 2016

Sokong

Susah untuk kita menilai sesiapa pun di dunia ini. Bukan mudah untuk berkawan. Bukan mudah untuk disokong. Hidup ini ada jatuh bangun. Kita selalu lihat benda yang mungkin sama bagi setiap orang. Ramai yang ada di sekeliling kita masa kita senang atau masa dia perlukan kita. Tetapi, sukar mencari rakan sejati yang ada dengan kita masa kita susah, masa kita perlukan seseorang. Bila diperkatakan, mudah untuk orang lain mengatakan kita mengungkit. Bukan mengungkit, tetapi, kita manusia. Kita ada perasaan. Memang kita tak minta balasan untuk setiap pertolongan. Tapi, ada masanya kita perlukan sokongan. Banyak cara untuk sokong. Banyak cara untuk tolong. Kalau kita hanya diperlukan pada masa orang lain susah, dan orang yang sama hilang pada masa kita perlukan mereka, aku tinggalkan persoalan tersebut untuk anda fikirkan. Fikirkanlah.


a z z w a n

Thursday, 19 May 2016

7.333

Hari ini, aku akan cuba untuk menulis tentang sudut berteduh atau kawasan rehat dan rawat (R&R) ini. Banyak kegunaan kawasan ini. Ruang sejuk. Tempat makan. Tempat solat. Tempat tumpang barang. Tempat mengecas telefon dan komputer peribadi. Aku suka bila ramai tetamu. Aku suka bila ramai yang bertandang. Tidak kisah lah atas apa alasan sekalipun. Dalam beberapa hari ini, aku terfikir. Bagus juga fungsi kawasan ini. Sekurang-kurangnya mereka ini ada di sini, bukannya tersesat di luar sana, terpedaya dengan mainan dunia. Takut ada yang sesat, tidak jumpa jalan pulang. Aku harap ianya berterusan. Tapi, ini dunia kan, mana ada yang kekal.


a z z w a n

Wednesday, 18 May 2016

Peluang

Peluang. Kadang-kadang ia datang hanya sekali. Tapi, kebanyakannya, berkali-kali. Aku sudah jelak memainkan skrip sama berkenaan peluang. Muak. Sebab nampak tiada perubahan. Nampak macam bermonolog dengan diri sendiri. Kita perlu pandai tafsir peluang yang mendatang. Peluang dalam pelbagai bentuk. Peluang untuk memperbaiki diri. Peluang untuk membuat tugasan dengan masa yang diperuntukkan. Peluang untuk menghantar tugasan sebelum masanya. Peluang untuk hadir ke kelas pada masa yang sepatutnya. Peluang untuk bertanya, samada di dalam atau di luar kelas. Peluang untuk belajar. Peluang untuk berkongsi ilmu. Peluang yang mungkin kadang-kadang tidak akan datang lagi. Hargailah peluang yang ada. Sementara kita masih ada masa.


a z z w a n

Thursday, 12 May 2016

Putus

Put us in your situation? Put us in your dreams? Put us in your team? When we consider all the questions, we are getting to a big issue. When we put ourselves into other's shoes, we should understand the hardship that people face, everyday. We should understand the situation. We should understand how they going through the obstacles, how they keep smiling after going through the pain, how they act tough even they should cry their hearts out. Acting tough is not easy. But, sometimes it's the only right and suitable thing to do. Be strong, for better or for worse.


a z z w a n

Wednesday, 11 May 2016

Random

There will come a time, when I want to write something in English. This is the time. For the time being, there are so many things to handle. There are things that I need to think about. And I know, time is running out, for many things. Semester coming to an end. Quizzes need to be checked. Lab test. Final Report. I also need to prepare for other things. Conferences, PhD preparation, Journal Writing and also other things. I know, I am a complex and complicated person. I really need things to be organized, check thoroughly. So, it will also takes a lot of time, for me.


a z z w a n

Friday, 6 May 2016

Carut

Setiap dari kita tidak akan terlepas dari dugaan. Mungkin setiap hari kita akan terduga. Apabila kita diduga, tidak kira emosi atau fizikal, atau mungkin terkejut, ada antara kita yang akan tercarut. Ter bermaksud tidak sengaja. Tapi, kadang-kadang, bukan tercarut, kita terdorong untuk mencarut. Ada pelbagai kata carutan yang popular, dari pelbagai dialek. Tiada contoh akan diberikan di sini. Harap maaf. Harapannya agar kita tidak mencarut. Berdosa. Tapi, kita hanya manusia. Kadang-kadang kita terdorong oleh emosi. Terdorong oleh kemarahan. Jalan paling mudah untuk tidak bereaksi berlebihan adalah dengan berkata-kata, atau mencarut. Perlulah difahami kesan dari carutan yang diucap. Mungkin akan mengguris hati.


a z z w a n

Friday, 29 April 2016

Binatang : Tenggiling

Ini tema ke-9. Kenapa tema "Binatang"? Sebab idea awal ("Jatuh") ditolak, kemudian idea seterusnya ("Kebolehpasaran") juga ditolak.

Kenapa aku pilih "Tenggiling"? Tiada alasan spesifik. Cuma ada satu babak dalam "The Jungle Book", tenggiling muncul dan "punchline" agak merata-rata. Tenggiling juga unik. Boleh mempertahankan diri dengan melingkarkan badan. Mungkin tidak agresif. Setakat pengetahuan aku, tenggiling makan semut. Mungkin hari-hari mudah lupa. Dan, bagi aku, bila menyebut tenggiling, mungkin unik juga sebutannya. Selalu juga lihat berita mengenai penyeludupan tenggiling. Mungkin ada khasiat kesihatan, mungkin. Tapi, takkanlah aku nak cuba. Haram, kan. Janganlah makan tenggiling. Binatang hampir pupus, rasanya. Sayangilah tenggiling untuk negara.


a z z w a n

Wednesday, 27 April 2016

#ProjekPeduli

Ini satu permulaan baru. Untuk satu idea yang sudah lama terperam. Untuk idea yang mungkin sudah berusia 2-3 tahun. Sama seperti #ProjekVideo, ianya adalah projek terbengkalai. Ada dibincangkan. Ada diceritakan. Ada dibawa bersembang. Tetapi, tidak pernah pergi lebih jauh. Aku cuba untuk tidak berharap. Aku cuba untuk menjadi realistik. Tapi, aku manusia. Aku akan mempunyai impian. Punya rasa untuk bermimpi. Punya rasa untuk membawa kegembiraan.

Aku rasa lebih baik buat sesuatu yang kecil tetapi bermakna. Biarlah orang kata cuma projek kampung. Yang penting, senyuman yang dicetuskan. Mungkin, untuk kali ini, aku dibenarkan untuk melunaskan impian lama. Yang sudah lama menjadi mimpi.


a z z w a n

Friday, 22 April 2016

Kosong

Bila rasa itu tiba, kau tidak pasti apa sebenarnya yang kau rasa. Apa sebenarnya yang terjadi. Apa sebenarnya yang perlu kau buat. Bukanlah tidak bersyukur dengan apa yang ada. Bukanlah tidak gembira dengan kewujudan di sekeliling. Tapi, rasa itu hadir. Kosong. Keliru, mungkin. Terpana, mungkin. Ketidakpastian. Semua orang pasti pernah merasainya. Semua orang perlu menghadapinya. Tapi, masa akan terus berlalu. Aku harap kekosongan ini tidak panjang. Bukan mudah menghadapinya. Masa terasa panjang. Masa terasa bergerak perlahan. Mungkin tiba masa untuk aku melihat awan. Walau ditutup kabus jerebu. Bila difikirkan kembali, mungkin terlalu banyak peristiwa yang berlaku. Banyak yang tidak dapat ditahan. Banyak yang berlalu begitu sahaja. Perit. Kosong.


a z z w a n

Thursday, 21 April 2016

Ujian

Kita hanya manusia biasa. Pastinya banyak ujian yang kita hadapi. Dari hari ke hari. Kadang-kadang, ianya terlalu berat. Kadang-kadang, kita rasa tidak berdaya. Apalah daya kita. Kita hanya manusia biasa. Ujian ini, paling tidak, akan menguatkan kita. Akan memahirkan kita. Akan mendewasakan kita. Mungkin ada yang membawa tangisan hari ini. Tetapi, membawa tawa di kemudian hari.

Ada juga ujian yang membuatkan kita hilang perkataan dan ayat untuk diucapkan. Ujian ini, kadang-kadang, sukar dimengertikan. Kadang-kadang, kesedihan tidak hilang, walaupun ditelan waktu. Kita hanya mampu bersabar. Hanya mampu menjadi tabah. Kerana itu satu-satunya pilihan yang kita ada. Paling penting, kita hanya manusia biasa.


a z z w a n

Wednesday, 13 April 2016

Blog

Aku sebolehnya tidak mahu terlalu tegas tentang Tugasan Blog. Tetapi, manusia selalu melakukan kesilapan. Mungkin tugas aku adalah untuk mengingatkan. Sebelum nasihat yang padu, terlebih dahulu, tahniah untuk yang telah menulis lebih had jumlah. Tahniah untuk yang kemajuannya baik setiap minggu. Tahniah untuk yang cukup 100 patah perkataan. Tahniah untuk yang berusaha. Ramai juga yang menulis panjang, bagus. Tetapi, ada 7 orang pelajar yang kurang jumlahnya. Beringatlah, markah berterusan, anda perlu berusaha setiap minggu. Setakat ini, 15 orang pelajar sudah terlepas pandang kemajuan mingguan. Jangan tersilap lagi. Cuti sebegini juga adalah penentu untuk momentum anda semua selepas ini. Berusahalah. Teruskan menulis.


a z z w a n

Tuesday, 12 April 2016

Cuti

Selamat bercuti untuk semua yang bercuti. Untuk pengetahuan anda semua, pensyarah tidak bercuti semasa cuti sebegini. Pensyarah diberikan 25 hari cuti setahun. Dari situ, mereka akan pilih bila masa untuk bercuti. Ada yang cuti raya panjang, ada yang cuti tahun baru panjang, ada juga yang bercuti panjang pada masa ini. Ada yang mengambil kesempatan pada cuti ini untuk membuat lawatan untuk latihan industri. Aku juga akan cuba bertandang ke Puchong dan Klang pada Khamis ini. Jadi, tolonglah, jangan ada lagi ucapan selamat bercuti untuk aku, pada masa sebegini dan juga selepas habis semester. Aku bertugas, bukan bercuti, pada masa tersebut.

Selamat bercuti.


a z z w a n

Monday, 11 April 2016

Air

Bila masuk isu AIR, memang jadi sensitif. Sebab AIR adalah keperluan. Takkan lah pergi kelas tak mandi kan. Takkan lah tak minum sepanjang hari. Aku sudah mengalami masalah AIR dari dahulu kala. Duduk di kawasan perumahan FELDA, biasa sahaja terputus bekalan AIR. Kenal sangat dengan lori yang akan datang mengagihkan bekalan air. Kemudian, masalah bekalan AIR paling biasa semasa zaman Diploma di KPTMKB dan zaman UUM. Di KPTMKB, memang berkala. Selalu sangat dapat mandi air tanah, atau air karat. Di UUM, baru daftar, sedang banjir besar. Rasanya dua tiga kali masalah AIR negara, jadi tak terkecuali di UUM. Jadi, sekali lagi, AIR tanah juga yang dicarinya. Di UKM, tiada komen. Anda komen sendiri.


a z z w a n

Friday, 8 April 2016

#TeamSirAzzwan

Tiba-tiba, aku dapat satu idea. Buat beberapa benda dalam satu pakej. Aku cuba ketengahkan penjualan jersi "keluaran terhad", hanya 100 helai, bernombor dari 0 hingga 99, yang mana, keuntungan dari penjualan akan dibahagi dua. Satu bahagian untuk pasukan yang menguruskan penjualan. Satu bahagian lagi akan digunakan untuk Projek Khas. Kalau banyak, mungkin dua projek. Satu, Projek Peduli, sediakan makanan untuk makcik dan pakcik yang bersihkan kawasan FEP dan sekitarnya. Sambil bagi makanan, sambil sembang ramah mesra. Kalau ada duit lebih lagi, Projek Sayang. Projek Sayang ini lebih kepada program bersama anak yatim.

Memang sukar. Tapi, buat masa sekarang, ini cuma satu idea.


a z z w a n

Thursday, 7 April 2016

Smart

Smart Selasa. Itu usaha FEP. Smart Senayan. Itu untuk kelas Komunikasi Perniagaan. Sepatutnya Isnin sahaja Hari Kemas. Bermula minggu ini, dua Hari Kemas untuk kelas aku. Padan muka anda.

Biarlah bermula dari sekarang, anda berlatih untuk perkara ini. Aku dahulu tidak putus menjadi kemas. Diploma di KPTM (dahulunya KYPM) Kota Bharu, memang kemas sepanjang minggu. Kemudian di UUM, memang kemas sehingga ke tali leher. Bila bekerja di UKM, biasa sahaja Smart Isnin atau Selasa atau Rabu atau Khamis atau Jumaat.

Kadang-kadang seronok tengok kekemasan. Pengorbanan untuk bersiap-sedia sebelum kelas di pagi hari. Kekalutan untuk mempersiapkan diri. Pemilihan baju yang sesuai.

Bertahanlah.


a z z w a n

Monday, 4 April 2016

Buah : Betik

Tema kali ini berkisar tentang BUAH. Mungkin sebab ada Pasukan Buah di dalam kelas. Mungkin sebab ini peluang mencungkil bakat pencarian buah. Atau mungkin lari dari tema"kesedihan". Aku memilih hari ini, tetapi, masih ada buah yang belum dipilih. Betik, kan? Biar Betik.

Anda boleh cari fakta tentang Betik sendiri. Aku tak nak ulas tentang vitamin atau kebaikannya. Cuma, buah ini satu pilihan untuk lawas. Betik, kan. Betik sedap. Takkan tak sedap. Betik, kan. Betik juga telah digunakan secara meluas untuk "punchline" beberapa tahun kebelakangan ini. Betik, kan. Biar Betik.

Selain itu, sedikit nasihat, bagi anda yang terlebih isi (double-entry atau triple-entry) untuk ruang Discussion Tema 05, sila uruskan segera. Jangan terlambat, Betik nanti.


a z z w a n

Thursday, 31 March 2016

PowerPoint

Entri terdahulu - sila klik.
Entri dahulu - sila klik.

Entri-entri di atas, ada yang penting untuk anda sekarang, ada yang tidak. Tapi, yang paling penting, bersedialah. Bagi aku, ada strategi untuk memilih tajuk. Kalau aku yang memilih, lebih baik memilih yang paling banyak untuk diperbaiki. Tapi, itu aku. Jangan hilang fokus, ini bukan pecutan, ini maraton, jadi anda semua perlu ada perkembangan dari masa ke semasa. Aku mungkin berkira-kira untuk menjalankan Sesi Pembentangan lebih awal. Mungkin minggu 11 atau 12. Banyak syarat. Banyak peraturan. Jadi, catat sebaiknya. Selepas sesi tayangan tempoh hari, aku mungkin pertimbangkan untuk mengharamkan babak temubual dan juga lagu "Locked Away" sebagai muzik latar. Ambil peluang untuk bertanya. Ambil peluang untuk bekerjasama. Ambil peluang untuk belajar. Jangan penting diri. Jangan berlengah. Selamat berjaya.


a z z w a n

Saturday, 26 March 2016

Pasrah

Pada ketika aku sedang menulis entri ini, ada beberapa tragedi berlaku. Dan beberapa tragedi tersebut juga berlaku serentak terhadap seseorang ini. Aku harap dia tabah. Aku tahu dia kuat. Aku percaya dia mampu terima semua ini.

Pasrah. Pasrah? Mungkin kekuatan diri kita dilihat dari sejauh mana kita pasrah terhadap ketentuan. Atau mungkin kekuatan itu lahir dari kepasrahan. Mudah untuk kita mengatakan. Mudah untuk kita meminta kesabaran. Tetapi, kita bukan di tempat mereka. Kalau kita, bagaimana?

Bukan kita tak mampu, tetapi kita kuat menerima takdir dan ketentuan. Bukan kita lemah, tapi kita tabah menghadapi dugaan yang ada.

Aku harap kau tabah selalu. Aku doakan yang terbaik untuk semua.


a z z w a n

Wednesday, 23 March 2016

Anger

There is no reason to be rational with anger. In every situation, there should be a way to discuss in a good way, professionally. But, I am a human, with blood and flesh. I am driven by passion, every single day. I teach with passion. I live my life with passion. I believe I am emotionally emotional.

I believe things happen for a reason. Every single thing. Every single moment.

I need to be strong. Sometimes for my own self. Sometimes for other people. Even in my worst moment, because I know, I need to be the reason for someone to smile. They do not deserve to be burden by my problems, or my emotion.

It's hard, but, it's life. Thank you.


a z z w a n

Saturday, 19 March 2016

Lemau

Mudahnya kalau kaitkan lemau dengan makanan. Makanan masuk angin. Makanan tak rangup. Tapi sebenarnya, kita pun boleh lemau. Lemau dengan situasi. Lemau menunggu sesuatu. Lemau dengan kemalasan diri sendiri. Kadang-kadang, kita kena tabah. Tabah bila lemau. Tabah bila bosan tahap dewa. Tabah dengan kerenah kawan-kawan yang mangkuk. Kalau rasa tak boleh ke depan, pandang ke atas, lihatlah awan. Biarkan masa berlalu. Biarkan diri ditinggal waktu. Tapi, jangan lama sangat. Banyak perkara yang tak tunggu kita. Contohnya, penulisan blog. Kalau kau terlepas, itu salah kau, bukan salah lemau. Jangan dilayan sangat lemau bila datang. Lemau yang ada perlu dijauhkan, selalunya. Apapun, kau kena pandai jaga hati. Hati kena kuat. Kalau tak, mesti kau selalu lemau.


a z z w a n

Thursday, 17 March 2016

#TeamAzzwan

Setiap manusia pasti ada jatuh bangunnya. Pasti ada masa suka dan duka. Pada masa ini, aku ada satu ruang khas untuk satu kumpulan. Aku tahu aku perlu bersyukur atas kurniaan ini. Aku tahu ini bukan kali pertama. Dan mungkin bukan yang terakhir. Tapi, ini satu yang istimewa.

Aku berterima kasih. Ya, aku rasa dihargai. Tapi, jauh di sudut hati, aku cuba untuk tidak terlalu mengharapkan. Takut aku terlalu kecewa. Takut perkara lama berulang kembali. Aku takut.

Tapi, untuk detik yang ada ini, aku ingin bergembira. Kalau dapat bertahan lama, aku bersyukur. Kalau hanya untuk sementara, pun aku bersyukur.

Terima kasih.


a z z w a n

Monday, 14 March 2016

Takut

Masa yang berlalu pergi..
Ianya takkan kembali..

Memori yang tersimpan..
Terlalu banyak..
Ada yang terlalu pahit untuk dikenang..
Ada yang terlalu indah untuk dilupakan..

Friday, 11 March 2016

Lesu

Lesu. Kita kan manusia. Berperasaan.

Kadang-kadang kita lesu.
Lesu dengan kerenah manusia.
Lesu dengan kerenah diri sendiri.

Tapi, hidup memang penuh dugaan.
Paling tidak, kau kena hadap.
Kalau kuat, hadapilah dengan senyuman.

Dunia tidak adil untuk kau?
Manusia terlalu berprasangka terhadap kau?
Apa lagi kau boleh buat, selain tahan dan pendam?
Selain diam dan membisu?

Berkawanlah. Mungkin di situ punca gelak tawa.
Mungkin di situ pelepas derita.
Carilah kawan yang terbaik.
Jangan lepaskan.

Apalah daya kita untuk tahu.
Mungkin jodoh di situ.
Di kalangan kawan yang kau ada.
Tanpa sedar dialah teman setia.

Lesu, dunia ini bagai tidak tahu.
Lesu, pergi kau jauh dariku.


a z z w a n

Monday, 7 March 2016

Koyak

Kadang-kadang dalam hidup kita akan terasa dengan sesiapa sahaja. Paling teruk, kita akan terasa dengan kawan-kawan kita sendiri. Yang kita rapat. Yang kita sayang.

Kenanglah perkara yang baik. Kenanglah benda yang indah. Memang ada yang pahit, kadang-kadang. Tapi, bukankah itu kawan? Yang berkongsi susah dan senang. Yang mendengar keluhan kau.

Mungkin kawan kau tak sengaja. Mungkin kawan kau terlebih gurau. Mungkin kawan kau tak bermaksud begitu.

Seharian bersama kawan-kawan. Kadang-kadang, ada yang tidak faham. Ada yang tidak tahu isi hati kau.

Sabarlah. Mungkin ini bukan hari kau.
Sabarlah. Mungkin kawan kau akan faham. Satu hari nanti.
Sabarlah.

Koyak. Perit. Ya, aku tahu. Tapi, sabarlah.


a z z w a n

Saturday, 5 March 2016

Aku

Ini dari sesi lepas - sila klik.
Ini dari sesi sebelumnya - sila klik.

Untuk edisi kali ini, aku nak tekankan tentang ketegasan aku berkenaan pemarkahan. Akan ada yang bertanya, adakah aku tiada rasa kasihan? Adakah aku tiada rasa simpati?

Sejujurnya, aku lebih rela melihat hasil yang lebih baik nanti. Biarlah berat displin yang dididik. Biarlah bernanah telinga, biarlah mengalir airmata. Aku harap ianya membawa kebaikan.

Takkanlah anda semua ingat dunia luar nanti mudah belaka. Biarlah susah sekarang, daripada terngadah di kemudian hari.

Selamat berjaya, sesungguhnya ianya tidak mudah selagi ianya di dalam kelas aku. Mana ada yang mudah pun, sampai nak email pun ada formatnya.

Teruskan menulis. Pastikan asli. Jangan lupa 100 patah perkataan.


a z z w a n