Friday, 29 April 2016

Binatang : Tenggiling

Ini tema ke-9. Kenapa tema "Binatang"? Sebab idea awal ("Jatuh") ditolak, kemudian idea seterusnya ("Kebolehpasaran") juga ditolak.

Kenapa aku pilih "Tenggiling"? Tiada alasan spesifik. Cuma ada satu babak dalam "The Jungle Book", tenggiling muncul dan "punchline" agak merata-rata. Tenggiling juga unik. Boleh mempertahankan diri dengan melingkarkan badan. Mungkin tidak agresif. Setakat pengetahuan aku, tenggiling makan semut. Mungkin hari-hari mudah lupa. Dan, bagi aku, bila menyebut tenggiling, mungkin unik juga sebutannya. Selalu juga lihat berita mengenai penyeludupan tenggiling. Mungkin ada khasiat kesihatan, mungkin. Tapi, takkanlah aku nak cuba. Haram, kan. Janganlah makan tenggiling. Binatang hampir pupus, rasanya. Sayangilah tenggiling untuk negara.


a z z w a n

Wednesday, 27 April 2016

#ProjekPeduli

Ini satu permulaan baru. Untuk satu idea yang sudah lama terperam. Untuk idea yang mungkin sudah berusia 2-3 tahun. Sama seperti #ProjekVideo, ianya adalah projek terbengkalai. Ada dibincangkan. Ada diceritakan. Ada dibawa bersembang. Tetapi, tidak pernah pergi lebih jauh. Aku cuba untuk tidak berharap. Aku cuba untuk menjadi realistik. Tapi, aku manusia. Aku akan mempunyai impian. Punya rasa untuk bermimpi. Punya rasa untuk membawa kegembiraan.

Aku rasa lebih baik buat sesuatu yang kecil tetapi bermakna. Biarlah orang kata cuma projek kampung. Yang penting, senyuman yang dicetuskan. Mungkin, untuk kali ini, aku dibenarkan untuk melunaskan impian lama. Yang sudah lama menjadi mimpi.


a z z w a n

Friday, 22 April 2016

Kosong

Bila rasa itu tiba, kau tidak pasti apa sebenarnya yang kau rasa. Apa sebenarnya yang terjadi. Apa sebenarnya yang perlu kau buat. Bukanlah tidak bersyukur dengan apa yang ada. Bukanlah tidak gembira dengan kewujudan di sekeliling. Tapi, rasa itu hadir. Kosong. Keliru, mungkin. Terpana, mungkin. Ketidakpastian. Semua orang pasti pernah merasainya. Semua orang perlu menghadapinya. Tapi, masa akan terus berlalu. Aku harap kekosongan ini tidak panjang. Bukan mudah menghadapinya. Masa terasa panjang. Masa terasa bergerak perlahan. Mungkin tiba masa untuk aku melihat awan. Walau ditutup kabus jerebu. Bila difikirkan kembali, mungkin terlalu banyak peristiwa yang berlaku. Banyak yang tidak dapat ditahan. Banyak yang berlalu begitu sahaja. Perit. Kosong.


a z z w a n

Thursday, 21 April 2016

Ujian

Kita hanya manusia biasa. Pastinya banyak ujian yang kita hadapi. Dari hari ke hari. Kadang-kadang, ianya terlalu berat. Kadang-kadang, kita rasa tidak berdaya. Apalah daya kita. Kita hanya manusia biasa. Ujian ini, paling tidak, akan menguatkan kita. Akan memahirkan kita. Akan mendewasakan kita. Mungkin ada yang membawa tangisan hari ini. Tetapi, membawa tawa di kemudian hari.

Ada juga ujian yang membuatkan kita hilang perkataan dan ayat untuk diucapkan. Ujian ini, kadang-kadang, sukar dimengertikan. Kadang-kadang, kesedihan tidak hilang, walaupun ditelan waktu. Kita hanya mampu bersabar. Hanya mampu menjadi tabah. Kerana itu satu-satunya pilihan yang kita ada. Paling penting, kita hanya manusia biasa.


a z z w a n

Wednesday, 13 April 2016

Blog

Aku sebolehnya tidak mahu terlalu tegas tentang Tugasan Blog. Tetapi, manusia selalu melakukan kesilapan. Mungkin tugas aku adalah untuk mengingatkan. Sebelum nasihat yang padu, terlebih dahulu, tahniah untuk yang telah menulis lebih had jumlah. Tahniah untuk yang kemajuannya baik setiap minggu. Tahniah untuk yang cukup 100 patah perkataan. Tahniah untuk yang berusaha. Ramai juga yang menulis panjang, bagus. Tetapi, ada 7 orang pelajar yang kurang jumlahnya. Beringatlah, markah berterusan, anda perlu berusaha setiap minggu. Setakat ini, 15 orang pelajar sudah terlepas pandang kemajuan mingguan. Jangan tersilap lagi. Cuti sebegini juga adalah penentu untuk momentum anda semua selepas ini. Berusahalah. Teruskan menulis.


a z z w a n

Tuesday, 12 April 2016

Cuti

Selamat bercuti untuk semua yang bercuti. Untuk pengetahuan anda semua, pensyarah tidak bercuti semasa cuti sebegini. Pensyarah diberikan 25 hari cuti setahun. Dari situ, mereka akan pilih bila masa untuk bercuti. Ada yang cuti raya panjang, ada yang cuti tahun baru panjang, ada juga yang bercuti panjang pada masa ini. Ada yang mengambil kesempatan pada cuti ini untuk membuat lawatan untuk latihan industri. Aku juga akan cuba bertandang ke Puchong dan Klang pada Khamis ini. Jadi, tolonglah, jangan ada lagi ucapan selamat bercuti untuk aku, pada masa sebegini dan juga selepas habis semester. Aku bertugas, bukan bercuti, pada masa tersebut.

Selamat bercuti.


a z z w a n

Monday, 11 April 2016

Air

Bila masuk isu AIR, memang jadi sensitif. Sebab AIR adalah keperluan. Takkan lah pergi kelas tak mandi kan. Takkan lah tak minum sepanjang hari. Aku sudah mengalami masalah AIR dari dahulu kala. Duduk di kawasan perumahan FELDA, biasa sahaja terputus bekalan AIR. Kenal sangat dengan lori yang akan datang mengagihkan bekalan air. Kemudian, masalah bekalan AIR paling biasa semasa zaman Diploma di KPTMKB dan zaman UUM. Di KPTMKB, memang berkala. Selalu sangat dapat mandi air tanah, atau air karat. Di UUM, baru daftar, sedang banjir besar. Rasanya dua tiga kali masalah AIR negara, jadi tak terkecuali di UUM. Jadi, sekali lagi, AIR tanah juga yang dicarinya. Di UKM, tiada komen. Anda komen sendiri.


a z z w a n

Friday, 8 April 2016

#TeamSirAzzwan

Tiba-tiba, aku dapat satu idea. Buat beberapa benda dalam satu pakej. Aku cuba ketengahkan penjualan jersi "keluaran terhad", hanya 100 helai, bernombor dari 0 hingga 99, yang mana, keuntungan dari penjualan akan dibahagi dua. Satu bahagian untuk pasukan yang menguruskan penjualan. Satu bahagian lagi akan digunakan untuk Projek Khas. Kalau banyak, mungkin dua projek. Satu, Projek Peduli, sediakan makanan untuk makcik dan pakcik yang bersihkan kawasan FEP dan sekitarnya. Sambil bagi makanan, sambil sembang ramah mesra. Kalau ada duit lebih lagi, Projek Sayang. Projek Sayang ini lebih kepada program bersama anak yatim.

Memang sukar. Tapi, buat masa sekarang, ini cuma satu idea.


a z z w a n

Thursday, 7 April 2016

Smart

Smart Selasa. Itu usaha FEP. Smart Senayan. Itu untuk kelas Komunikasi Perniagaan. Sepatutnya Isnin sahaja Hari Kemas. Bermula minggu ini, dua Hari Kemas untuk kelas aku. Padan muka anda.

Biarlah bermula dari sekarang, anda berlatih untuk perkara ini. Aku dahulu tidak putus menjadi kemas. Diploma di KPTM (dahulunya KYPM) Kota Bharu, memang kemas sepanjang minggu. Kemudian di UUM, memang kemas sehingga ke tali leher. Bila bekerja di UKM, biasa sahaja Smart Isnin atau Selasa atau Rabu atau Khamis atau Jumaat.

Kadang-kadang seronok tengok kekemasan. Pengorbanan untuk bersiap-sedia sebelum kelas di pagi hari. Kekalutan untuk mempersiapkan diri. Pemilihan baju yang sesuai.

Bertahanlah.


a z z w a n

Monday, 4 April 2016

Buah : Betik

Tema kali ini berkisar tentang BUAH. Mungkin sebab ada Pasukan Buah di dalam kelas. Mungkin sebab ini peluang mencungkil bakat pencarian buah. Atau mungkin lari dari tema"kesedihan". Aku memilih hari ini, tetapi, masih ada buah yang belum dipilih. Betik, kan? Biar Betik.

Anda boleh cari fakta tentang Betik sendiri. Aku tak nak ulas tentang vitamin atau kebaikannya. Cuma, buah ini satu pilihan untuk lawas. Betik, kan. Betik sedap. Takkan tak sedap. Betik, kan. Betik juga telah digunakan secara meluas untuk "punchline" beberapa tahun kebelakangan ini. Betik, kan. Biar Betik.

Selain itu, sedikit nasihat, bagi anda yang terlebih isi (double-entry atau triple-entry) untuk ruang Discussion Tema 05, sila uruskan segera. Jangan terlambat, Betik nanti.


a z z w a n